mutakhir

Hukuman lebih berat terhadap pemandu mabuk, khayal

Oleh Yusmizal Dolah Aling

SEMUA hukuman bagi kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol, dadah, memandu secara melulu serta merbahaya akan ditambah baik dan ditingkatkan untuk memberi pengajaran kepada masyarakat, selain menghindarkan gejala pemanduan tidak sepatutnya.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, ia demi memastikan kepentingan dan keselamatan rakyat terjaga, khususnya pengguna jalan raya.

Katanya, beliau sudah mengarahkan pegawai kementerian untuk menyediakan satu Memorandum Jemaah Menteri bagi mendapatkan kelulusan Kabinet bulan ini untuk merealisasikan hasrat itu.

"Hari ini saya mempengerusikan mesyuarat khas pindaan terhadap Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), khususnya Seksyen 41 hingga 45 mengenai hukuman terhadap mereka yang memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah, mahupun memandu secara melulu dan merbahaya.

"Cadangan pindaan terhadap Akta 333 ini juga mengambil kira pandangan semua pemegang taruh, termasuk orang ramai," katanya menerusi kenyataanya yang dimuat naik di Facebook, hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pengguna Jalan Raya Kebangsaan (PPJK) Mohammad Hisham Shafie berkata, ia adalah permulaan yang baik untuk meminda beberapa perkara yang dirasakan perlu demi keselamatan pengguna di jalan raya.

Katanya, hukuman atau denda yang lebih berat perlu dikenakan terhadap pesalah memandangkan kejadian maut membabitkan pemandu mabuk kerap berlaku kebelakangan ini.

"Kita sokong usaha kementerian ini. Setiap hari kita terima rungutan daripada orang ramai yang bimbang keselamatan mereka di jalan raya. Ia permulaan yang baik," katanya.

Disiarkan pada: June 1, 2020 @ 7:30pm
d